Friday 3 May 2019

Samawi Tak Pernah Berhenti Menurunkan Hujan Semi.*


Tulislah seperti dawat tintamu tak pernah habis
dan kertas tulismu masih belum tertulis noktah
samawi tak berhenti menurunkan hujan semi
tamanmu senantiasa hijau dan kembang bunga
gema suaramu mengelus dinding dan pintu kalbu
kasih dan rindumu seperti udara pagi pergunungan
kepulangan musafir yang tiba di hujung senja
seribu malam kekasih melafazkan salam dan selawat
metamorfosis hayat dan pengorbanan kalbu seorang mutaki.
Kau bina sempadan dalam takaran waktu
biarlah, jika tersirat ini dikatakan majnun dan perjuangan ini
purnama penuh dan lautan damai pasrah pada-Mu
kata-kata dan tindakan telah menjadi bintang-bintang khalis
dalam sunyi malam engkau adalah khadim yang itaat
dan menurut perintah dan siap dengan kuda semberanimu.
Pergilah, ke mana pun sampai ke hujung negeri entah beranta
kenyangan dan orbit mana yang belum didatangi.
Aduhai kekasihku, berita itu telah disampaikan
engkau telah membaca testimoni dan metamorfosis kalbu ini
masihkah kau menduga, menuduh dan berpaling
isyarat gerhana pada bulan dan matahari adalah satu
hanya kerugian melawan arus kebenaran kerana
tidakkah engkau sedar, yang engkau adalah daun-daun kering
yang jatuh terjunam dan berakhir tanpa musim.
Ayuh! kilas cahaya di menara putih dan
kegelapan adalah petualang-petualang yang kalah di medan.
kita adalah metamorfosis suatu perjuangan pada siang majnun
malam-malam tawajuhmu seperti air terjun mengalir tak berhenti.
Sabahuddin Senin
Kota Marudu
8 April 2019

Nota: Puisi ini akan terbit dalam buku Cetus Rasa oleh Abdul Latief Ahmad  Jun 2019

No comments:

Post a Comment