Tuesday, 3 January 2017

Tenda-Tenda Pelarian dekat Sempadan (Syria)*

Hujan telah berhenti
malam masih mendaki
ada dataran dilimpahi air
kau sendiri mengumpul
huruf-huruf yang bertaburan
kedamaian telah sirna
ada suara mengigau
dalam tenda-tenda pelarian.

Ia bermula dari satu orang
lalu semua di dalam tenda
bercakap-cakap dalam tidur
dunianya sendiri
gema suara itu makin besar
seperti ribut datang dengan kekuatan
kemudian senyap dan sepi.

Tiap malam ribut di dalam tenda
walau mereka sebenarnya tidur
kejadian ini terjadi hanya pada malam
ketika siang tiba semua
tak pernah ingat kejadian
semalam.

Dataran tenda pelarian ini
masih di situ
seperti penjara tanpa pagar berduri
penghuninya bebas
tanpa penjaga
dan das tembakan

Nilai
3 Januari 2017