Wednesday, 4 January 2017

Bom Mencederakan Anak-Anak Syria (Syria)*

Dari runtuhan bangunan kota
kabus debu berlinggar dalam udara
sebentar tadi bom jatuh tepat
suasana panik dan cemas
memandang langit
ke mana lagi sasarannya?

Ada suara terperangkap
di situ berkumpul
anak, ibu dan orang tua
yang terkepung
telah berapa kali
bom yang meletup
jatuh di bangunan
persembunyianmu.
Dalam sesaat
letupannya kuat dan
memusnahkan apa saja
yang bergerak.

Bom berjatuhan dari
langit siang dan malam
selepas ini siapa yang maut?
Anak-anak Syria
tertindih dari runtuhan
batu-batu bangunan
dadanya sesak menyedut jerebu tebal.

Tiap bom yang gugur
telah membunuh anak-anak
wanita dan warga tua
mereka tak ada kaitan
dengan perang
tapi kalian telah menjadi
mangsa keganasan kanca perang.

Kau terperangkap dalam
kotamu sendiri
perang beberapa penjuru
telah membingungkanmu
kau ingin langit damai
dan setenang lautan teduh.

Nilai
Januari 2017