Thursday, 24 November 2016

Rohingya, Meraih Kasih Saudara Ansar(HE)(Rohingya)*

Rohingya, tak usah kau gusar
sekalipun mereka ingin menghiris sukmamu
malam durjana ini akan berakhir
dan kedamaian kembali ke rimba Arakan.

Kemenangan anak bangsamu
hidup dalam jiwamu sejak kau lahir
dan kau akan bertahan sepanjang kurun
kejahatan akan kehilangan landasan.

Biar cintamu merangkum seluas benua
kasih sayangmu akan menghapuskan api dendam
ketika matahari musim semi di ufuk samawi
kemenanganmu sebagai bangsa merdeka.

Biar airmatamu menitis dalam sujud dan doamu
kata-kata dan tindakanmu tak akan membalas
siasah khianat yang memisahkanmu
kerana kau akan berdiri di lahan kedamaian.

Ketika kezaliman turun sebagai wabak
kau telah menyeberangi sempadan
sebagai muhajirin datang berhijrah
dan meraih kasih dari saudara Ansar.

Kuala Lumpur
2015

*Disiarkan Harian Ekspress 25 Disember 2016