Tuesday 17 September 2019

Suara-Suara Merdeka

Ada suara yang mengiyang mencari sepasang sayap
dipasang pada tubuh dirinya.

Lalu sebiji bola bergolek di tanah rata dengan kelajuan cukup
hebat melambung ke udara seperti ada tangan yang
menyambutnya dan meletakkannya pada sudut langit menjadi
bulan purnama di ufuk barat.

Tubuh kerdil yang tadinya telanjang kini bersayap menjadi burung
perkasa mengelilinggi tujuh petala bumi.

Tiap mata anak peribumi memandang kagum. Ada jazbah dan
tekad dalam dirinya kerana ia tidak tertakluk pada musim atau
lingkungannya.

Di laut, ada gelombang membawamu jauh sampai kepulauan
yang terasing. Suara-suara itu, bukan suara yang menakutkan
atau seram.

Tapi panggilannya kasih dan ia meletakkan mahkota di hatimu.
Perlukan engkau seribu malam untuk menawan negeri rindu.

Aduhai musim bunga telah tiba, suara-suaramu tak sekeras
gema di hujung malam. Kemerdekaan bukan sebuah mitos
dan dongeng.

Tidak juga menjadi badai derhaka dan jerebu khianat.
Kemerdekaan adalah warisan dan amanat.

Suara-suara gelisah itu telah tenteram, keluar dari
kepompongnya menjadi burung, bintang di orbit baru.

*Dideklamasikan di Malam Puisi Ambang Merdeka Kedua pada 30 Ogos 2019 di Hotel Promenade.

No comments:

Post a Comment