Friday 10 August 2018

Damailah Malaysia Raya*


Damailah Malaysia raya
rahmat turun di negara tercinta
kasih semua dalam kalbumu
hidup harmoni sepanjang zaman.

Indah permai bangsa makmur
jiwa merdeka turun-temurun
semangat juang nikmat berkurun
pengorbanan tunjang kejayaan bangsa.

Bahasamu kaya dan menawan
pandangan mata firasat melahirkan ilham
budayamu dari bangsa yang besar
cinta Tuhan dan kasih Rasul.

Rukun hidup berjiran tetangga
tiap tindakan dan pengucapan kata
tak akan melukakan hati saudaramu
kesedaran disemai jenarasi mendatang.

Ya Rabbi, lindungilah kami ketika teruji
pelihara kami dari musuh durjana
api sengketa dan pepecahan sendiri
biar damai dan kasih sayang jadi pegangan.

Majulah, Malaysia raya
kurnia-Nya turun bagai hujan musim semi
di tanah air tercinta, dan bangsa merdeka
lahan subur lahirnya tokoh dan pemimpin gemilang.

Gemilang, Malaysia raya
kesatuan ke arah kekuatan bangsa merdeka
tiap bangsa di dalamnya mata rantai yang kukuh
saling menguat antara satu sama lain.

Hidup, Malaysia raya
lambang kegemilangan kejayaan bangsa
langkahmu berani bukan dari rasa takabur
tapi atas landasan kebenaran yang hakiki.

Kota Marudu
9 Ogos 2018













No comments:

Post a Comment