Sunday, 13 March 2011

Rumah Kilat (Malaysia)


Di luar matahari jam 12
tolong, pakai kotak dirikan dinding
nasi bungkus, ikan goreng sambal dan sayur tumis tafu
makan ala kadarnya, menu: biasa
selepas makan, berbual sedikit  dan tidur
sori bos, tolong jangan ganggu
kota tak tidur 24 jam.

Ada seorang seniman jalanan
katanya, kasihan, sekarang mulut merata
di kaki lima, di lorong sehala, di stesyen bus,
di bangunan tinggi, di taman negara, di halaman rumah
di pasar malam, di bilik mandi di mana-mana.

Orang bilang buat apa mulut buang saja
ke dalam sungai, tong sampah atau tempat najis
memang tak ada lagi sayang pada mulut
kerana mulut terlalu banyak sekarang
seperti kutu busuk, ini sudah epedemik.

Diam-diam ia mengutip mulut
yang jatuh ke dalam longkang, terseret di bawah teksi
dalam penjara, rumah pangsa, atau ladang kelapa sawit.
Ditanya buat apa sdr dengan mulut?
nanti pameran dekat benteng lama...

Dari siang ke malam ia mengumpul mulut
ada yang bau busuk, ada berginju,
ada yang lapar, ada yang pembohong, ada yang kasihan
ada yang pintar bicara dan ada yang bapa ayam
ya namanya mulut, ada mulut jahanam.

Pameran pun ditetapkan
ribuan orang datang
mulut, mulut, mulut
di jual habis
orang ribut, tolak menolak mau beli
karya seni seniman jalanan.

Rumah kilat berdinding kotak
di situ mulut-mulut tidur berdekur
tiada siapa yang ingin bertanya
apa lagi memberi salam.

Queanbeyan,
NSW
2 March 2011

*Antologi RM & SS

No comments:

Post a Comment