This collection of poetry is the work of Sabahuddin Senin. All the poems are copyright of the poet. Any publication must get permission from the poet. Most of the poems are written in the Malay language. Sabahuddin Senin is a writer from East Malaysia, Sabah.He studied at the Universiti Sains Malaysia, Penang, NIDA, University New South Wales and the Australian National University, Canberra. He spends most of his time in Malaysia, Australia and Solomon Islands. 13th April, 2011
Wednesday, 6 December 2017
4 Puisi Hujan dan Airmata*
1.Hujan Dan air Mata
Di lembah kemarau
Panah-panah api turun
Membakar rimba raya
Dalam satu malam
Kehijauanmu hanggus jadi
Debu bertebaran.
Tangismu memanggil-manggil samawi
Malam-malam tawajuh
Kesakitan berkurun di langit terbuka
Perbualan ingkar
Derhaka dalam kegelapan malam.
Suara-suara mencari landasan
Kebingungan dalam ribut gelombang
Gerhana di langit bumimu
Gempa pada malam keliru
Telah berhenti.
Jalan pulang telah kau temui
Hujan telah turun
Tazkirah terkumpul dari
Mimpi-mimpi benar
Telah jadi sempurna.
Taman-taman yang haus
Hujan samawi turun
Dalam takaran waktu
Dan air mata yang menitis
Dalam doa-doa seorang musafir.
Maha suci adalah Dia
Hujan dan air mata
Adalah pelengkap sebuah perjuangan
Adalah tanda-tanda kemenangan akan sempurna.
2. Hujan dan airmata
Engkau telah melihat purnama penuh
Jauh di lubuk kalbu, tiap kata-kata
Mengalir dengan air mata
Musim telah bertukar,
Penyiksaan di malam panjang telah
Jadi anak-anak kalimat sebuah nazam.
Engkau telah bertahan ribuan tahun
Dan berpauh pada tali samawi
Dendam pada malam durjana
Tak akan membunuh kalbu yang tawajuh.
Di Mazbah-Mu, engkau datang dalam
Jiwa Ismail.
Hujan malam itu,
Adalah qurub meraih pintu-Mu
Air mata kasih sayang
Memadamkan api dendam
Ia tak berhenti di selokan
Mengalir terus ke laut samudera.
Kau tak akan pernah melukakan
Pada pohon-pohon hayat
Di lembah leluhur atau di tanah asing
Hujan dan airmata
Letusan komet di musim gerhana
datang sebagai isyarat yang telah
sempurna.
Kerinduan itu, airmata seorang ibu
Dan impian dari khazanah ratusan tahun
Telah ditemui dan rahsia itu telah tersingkap selamanya
Dan hujan di musim semi turun
Membawa khabar samawi.
3. Hujan dan airmata
Berapa lama kau membutakan mata
Gempa gunung dan hujan ribut di benua selatan
Di tanah-tanah rawan, airmata mengalir
Seperti sungai lumpur yang keruh
turun dari pelbagai arah
Mencari sempadan dan lautan.
Mereka bertahan dalam segala musim
Hujan dan airmata
Jadi perjuangan sampai ke baris penamat
Di bumi leluhurmu
Matahari luluh dalam kanca perang
Siang yang zalim
Kasih sayang seperti air yang tumpah
Pada tanah yang kering.
Ketika api menyala
Membakar halaman dirimu
Suara-suara air mata tak akan memadamkan
Amarah dan dendam
Kata-katamu yang terhimpun
Mengetuk pintu samawi jadi panah-panah hujan
Mengenai sasaran.
Hujan dan airmata
Tak akan sampai berhenti di sini
Kezaliman dan hukuman
Sejarah hitam cuba menguburkan
Kebenaran dan keyakinan
Walhasil, malam gelap panjang itu
Menemukan jalan mati dan pasrah
Khalis cahaya dari langit ansar.
4. Hujan dan airmata
Cintamu bagaikan langit dan bumi
Tak bersempadan
Rindu bagai air syafaat mengalir
Menuju muara laut.
Tangis-tangis dalam mekar doa mutaki
Hujan kurnia membawa kembang harum
Kalbu tawajuh.
Di pohon sena musafirmu
Berteduh melepaskan lelah siang
Perjalanan panjang sang kekasih
Air Firasat dan kasyaf dari kolam oasis
Hidup dalam ratusan tahun.
Cinta dan kasih sayang
Lebur dalam airmata
Tiap ujian datang dalam kurnia-Mu
Pengorbanan itu dari cinta kudus
Tak berkarat dalam takaran waktu.
Hujan dan airmata
Rahmat-Mu dari kalbu yang pasrah
Lafaz zikir malam-malam tahajud
Terkumpul dalam khazanah doa
Damai, damai
suara kemenangan
purnama yang telah sempurna.
5. Hujan dan airmata
Hujan dan airmata
Satu kekuatan turun dari jiwa tawajuh
Salam dari menara
Pada rimba gunung dan kepulauan sepi
Kesabaran dari keluh resah kau yang dizalimi
Air mata pelarian yang tak sampai melangkah
Sempadan atau tenggelam di lautan dalam.
Hujan dan airmata
Dari daerah-daerah rawan
Dalam kemelut dan kanca perang
Memanggilmu
Supaya kau berhenti dan menoleh
Mereka yang kandas di khemah-khemah
Pelarian
Suara-suara itu hilang
Tanpa meninggalkan pesan terakhir.
Hujan dan airmata
Cerita-cerita dari tanah pemburuan
Mimpi-mimpi yang tertimbus
Dalam rahang api jadi debu
Masa silam
Pada siang dan gelap malam
Kau mencari laluan ke negeri-negeri pelangi
Sambil mengheret duka laramu
Tiap saat menarikmu ke dalam jurang maut.
Hujan dan airmata
Artifak dan khazanah pada dinding-dinding memori
Kau bawa berlari ke mana-mana
Demi masa, yang kau harapkan
Impianmu jadi cahaya pada malam
Dan kemerdekaan sebuah bangsa pun
Jadi sempurna
Dari belenggu penjajah minda dan akal.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment