Monday, 29 February 2016

Melindungi Keindahan Alammu* (Cemar)

Di zaman ini aku menjadi saksi kehebatan perabadan
kau menjelajah sampai jauh ke orbit dan galaksi baru
tiap kejayaan kita meniup terompet dan tepuk tangan
walaupun di bumi peribumi dan lautan masih terhukum.

Bukankah tragik sekiranya terjadi di depan matamu
di alaf 21, kita mendengar berita yang menyayatkan
rimba raya telah musnah dan lautanmu telah tercemar
udaramu kotor tak terkawal kerana serakah kita sendiri.

Jalan pulangmu langit penuh penyesalan bumi meratap
sungai-sungai dikerat seribu mengalir dalam kepedihan
keramaian rimba telah sunyi dan tanahmu menjadi pasir
burung-burung meninggalkan sarangnya ke negeri jauh.

Satu siang kau dikejutkan dunia mendekati perang nuklear
hewan peribumi dan lautan pupus tak dapat diselamatkan
gerhana gemuruh di langit gempa di bumi taufan di lautan
ketenteramanmu tergangu mimpi jadi igau di siang hari.

Ya Rabbi, anugerah kurnia-Mu telah kami tak ambil peduli
keindahan bumi-Mu tercemar pembakaran haram rimba jati
toksit telah menyerap dalam hidupmu sampai urat serambi
kau meratap, melaung sekuatnya "Hentikan Kezaliman ini."

Aku sayang bumi kelahiran, hadiah dari Tuhan Rahman
samawi mengirim pelangi, musim semi  kembang bunga
Gazelku, melompat setinggi gunung carilah lembah hijau
Kuda semberani berlarilah sepantas kilat di bumi tercinta.

Bumi kesayangan, satu-satunya warisan harus diselamatkan
dari tangan-tangan kegelapan yang tak peduli yang terkurung
terus bermain api dan perangkap samar dan nafsi amarahnya
melindungi keindahanmu adalah perjuangan sampai kiamat.




Saturday, 27 February 2016

Kuala Kangsar (Lanskap)*

Kuala Kangsar Bandar DiRaja Darul Ridzuan
indah bumi dan alamnya tumpuan pemukim
keistimewaan sungaimu jalan pengangkutan
negerimu makmur dan damai sepanjang zaman.

Wajah negerimu bumi dermawan langit kurnia
hujan rahmat turun dari hulu sampai ke kuala
kemurahan Allah tiap arah yang kau lihat itu
Jayalah Tanah Negerimu, Jayalah Tanah Negerimu.

Kedamaian dan amanat langit menguatkan jati diri
di tanah peribumimu lahir anak-anak bangsa
tokoh-tokoh besar mewakili zaman gemilangnya
sejarahmu kebanggaan dan teladan negara bangsa.

Tiap bangsa memelihara keharmonian hidup rukun
kegemilangan bangsa Melayu yang berdaulat
agamumu, sumber kesejahteraan, keadilan saksama
Jayalah Tanah Negerimu, Jayalah Tanah Negerimu.






Batu Gajah (Lanskap)*

Bermula dari sebuah Kampung Sungai Terap
di tebing Sungai Kinta yang mengalir tenang
Penghulu Sri Amar DiRaja namamu dikenang
halaman sejarah penyataan jiwamu Batu Gajah.

Ketika kau ditemukan rasa kesyukuranmu
di tanahmu yang berbarkat masjid didirikan
cahaya langit menurunkan kurnia dan rahmat
gema azan berkumandang tiap masuk waktu.

Batu Gajah, luas dan indah, tanahmu elok
menawan jiwa J.W.W. Birch tentang dirimu
bot-bot angkut sibuk membawa kargo timah
alir sungaimu bercerita sampai ke hari ini.

Tradisi warisan ini kekal menjadi lambang
kemakmuranmu dan kesejahteraan hidup
penduduk yang meraih dari kekayaan bumi
keindahan alammu inspirasi pengunjungmu.

Friday, 26 February 2016

Melukis Mimpi (Ketuhanan)*

Sebelum tidur kembang malam masih berjalan
yang lain telah dibuai mimpi ratusan rempah
sesekali mimpi terlepas tak mungkin kembali
esok kau cuba mengingat sari mimpi semalam.

Seperti alam langit berubah  menjadi mendung
gelora lautan sebelumnya kini tenang dan damai
tiap bual dalam mimpi cuba diingat dan ditafsir
kau mencari pengertian dalam warna dan nama.

Mimpi  benar mempengaruhi siang mendatang
jauh di dalam kalbu kau seperti menemukan
harapan yang diberitakan melalui isyarat padamu
kedamaianmu firasat yang terlukis pada langit.

Datanglah mimpi benar aku masih menantimu
getaran dan resapanmu ke dalam kalbu telah
menyakinkan rahsia bumi dan kekayaan langit
 jiwa kelangsungan hidup damai yang benar.

Teluk Intan (Lanskap)*

Tiap bandar ada riwayat menjadi kemegahan dan sejarah
yang berlaku masa silam adalah ruh sejarah asal bermula
perbuatan pendatang di penempatan baru menjadi sebutan
dan menakluk kalbu  mereka yang bermukim selanjutnya.

Teluk Intan menyebut namamu indah di hujung lidah
warisan silam dengan ceritamu yang menawan kalbu
dua sungai bertemu langit pemurah menurunkan hujan
penduduk berkembang membawa rahmat dan kurnia.

Udaramu wangi dengan rempah ratus barangan dagangan
dulu kau dikenali pengeluar atap nipah dan kayu bakau
kemakmuranmu bandar hilir yang terbesar telah terkenal
berkumpul penduduk berbilang bangsa hidup tenteram.

Dari awal pemukimanmu dari desa menjadi bandar aman
tiap pojok bumimu penuh dengan pencapaian dan kejayaan
semangat persaudaraan satu dan saling menjaga sesama
langit dan bumimu kekayaan berlimpah anugerah Allah.



Istighafar (Ketuhanan)*

Angin bertiup kencang meranapkan pepohonan kalbumu
malammu seperti tanah terbongkar dari badai durjana itu
suaramu telah terbawa angin sampai ke khutub selatan
kedamaian hujan petang turun dengan rela ke sungaimu.

Sepi menusukmu seperti panah-panas terlepas dari busur
langit tak berubah cuma kehilangan burung-burung terbang
kau harus berlindung di langitmu dari mendung tebal
musim akan bertukar kau tak akan dapat menahannya.

Petanda apa yang membawa isyarat pada perubahan alam
lalu terkumpul huruf-huruf kata turun dengan kekuatan
akan menumpaskan kekerasan sampai tersungkur di bumi
kau telah berulang memberi amaran padanya terbuka.

Tapi kasih sayang masih pada tangan cinta kedamaian
pada kalbu yang tersimpan derhaka dan dendam kesumat
tak akan berkompromi dan menerima hakikat kekalahan
kerana kekerasan hanya menghidup api peperangan panjang.

Ya Rabbi, tenteraman jiwamu merangkum seluas langit
tiap perjuangan yang membawa ishla tanpa melukaimu
akan terus dijagai oleh samawi tanpa pengkiraan waktu
kau tak akan menuntut bukan hakmu menjadi punyamu.

Kemenangan padamu yang bertahan dan tak berganjak
sekalipun gunung berapi melepaskan lahar asap belerang
kau telah selamat ujian-ujian lautan dan gunung bertahan
istighafar terucap dari jiwa istiqamah ketal akan berjaya.










Wednesday, 17 February 2016

Taiping (Lanskap)*

Di halaman dindingmu penuh dengan cerita sejarah
dari bumimu Tuhan menganugerahkanmu bijih timah
nama lama, kau dipanggil Klian Pauh, kaya sumbernya
langit telah menurunkan hujan yang cukup.

Kau dipanggil Taiping, bermakna keamanan yang abadi
Ghee Hin dan Haisan telah muafakat memilih damai
kekayaan tanah peribumimu telah jadi idaman Inggeris
sejurus Perjanjian Pangkor Inggeris bertapak di bumimu.

Taiping, perjalanan sejarahmu telah menjadikanmu
bandar aman dan hidup sepanjang abad di bumi merdeka
lambang keharmonian dan kekayaan negerimu
menyakinkan kerukunan hidup sejajar dengan pembangunan.

Berkunjung ke Perak tanpa datang ke Taiping
kau akan terasa kekurangan walaupun di mana saja
kau berada di bumi negeri Darul Ridzuan, rahmat
Tuahn tercium dalam udara dan alam mayanya.