Thursday, 11 September 2014

Lamunan Penyair* (Cinta)


Alam diam seakan tak bergerak
keheningan ini membawa alamat
gerak bumi di lautan telah
mengirim gelombang ke pulau jauh.

Gazelku, bersabarlah,
pemburumu masih di sekitar
cuba mencium baumu di udara.

Tanpa bintang dan rembulan
apalah ertinya sebuah malam
tanpa mimpi dan impian.

Pantaimu terasa menjauh
kuda-kudamu kendur
ototmu telah kejang.


Honiara
2012

Suara hatimu*(ITBM)

Suatu siang mendung
masih bergumpal di langit
degung sekor lebah
berputar-putar di depan pintu
Lalu jatuh
bergerak sedikit
kemudian kejang kaku.

Alam tetap bergerak
tanpa menoleh
sepi terkejut
lalu beredar dalam mimpi.

Kau telah lama mendaki gunung
sekarang iklim mulai terasa panas
inspirasimu ikut tergoda
mengalir dari gunung ke lautan.

Ketika kau tak menyebelahi pihak
Hukum kedamaian adalah
pelaksanaan keadilan
tanpa dendam dan retorika.

Ketika kata-kata telah
payah untuk diucapkan
meja perundingan
kehilangan kebenaran
suara hatimu telah kau katakan
tapi hidup itu harus dilanjutkan.

*ITBM Jun 2015

Panah Langit*(ITBM)

Aku tau satu hari
panah itu turun dari langit
menjunam ke dalam sukma
seperti duri bunga ros

Kekadang ada rasa ingin mengutip
hamparan bintang di langit
tapi itu tak mungkin
akhirnya menatap dari jauh.

Perlukah aku
meratap seperti anak kecil
Soalnya kau telah jauh berjalan
matari tak merubah langkah kaki.

Aduh, memang siksa
kebenaran dinding yang terconteng
akhir dalam terpaksa kau akan
menutup pintu dan jalan ke halaman
akan terbiar,
lalang tumbuh menutup jalan.

Kau tak menghitung
malam telah meluncur
degup nadimu berpesan
bangunlah hari telah siang
tamumu akan datang
Lalu mengapa menyorok
mukamu di sebalik tirai.

Jawabku, ubi telah
menjadi kayu
kau pun tak selalu
menjenguk di kebunmu.

Salam, balasmu
di pelabuhan
memandang
benua selatan.

*ITBM Jun 2015




Tuesday, 9 September 2014

Puisi Buat Waail Gazwan Al-Jabuly* (Syria)(Boat People)

Ketika kuterima berita kepulanganmu dari Syria
seakan alam bertukar menjadi foto silam tanpa warna
kau telah mencuba berkali-kali memasuki sempadan larangan
tiap kali kau menyeberangi tanah asing kau merempat
dalam kamar gelap hinggalah suatu hari kau dibebaskan.

Sukmamu bagai air yang mengalir dari menara gunung
Ketika periuk api meletup di bawah telapak kakimu
Kau tau perjalananmu ini telah berakhir dengan maut
Selamat Tinggal, ayah tua, sekarang tiada lagi kau tunggu
Berita itu hanya disampaikan dalam mimpi benar.

Kepada saudara rohaniku, kau telah mencuba dan mencuba
Tapi di sini telah berakhir segalanya dan kau dipanggil pulang
Sebagai syahid dalam perjalanan maut di sempadan Turki
Kau hancur berkecai dan tak sempat berkata apa-apa
Gema ledakan bom periuk api menipis dalam udara panas

Kali ini kau telah menjadi mangsa tanpa ada amaran
Kau nekad kerana hanya tinggal selangkah
Kau ingin berada di tanah merdeka yang gemilang
Memburu impian pendatang malam dalam mimpi benar
Demikian harapan dan keinginan di dalam sukma.

Akhirnya kau mati syahid jauh dari halaman kampung
Dalam diam-diam kau cuba dan cuba meninggalkan
Daerah perang kerana kedamaian telah hancur luluh
Yang dibunuh dan terbunuh jumlah makin besar
Dua musuh bermati-matian membunuh satu sama lain.


Kau Kehilangan Bumi Dan Langit* (Kemerdekaan)

Lupakah masa silammu
ketika kau tak bermaya
mencari tiang bersandar
menunggu tangan menghulur.

Kezaliman itu
telah jauh
dari ingatan
sejarah tragik
menghendap dalam mimpi
penderaan bangsa
datang silih-berganti
kurun berkurun kau
diburu
seperti binatang buruan.

Ketika di puncak bukit
memandang ke bawah
api dendammu membakar
hutan nuraini.
Igau Nimrod
membawa celaka.

Malam panjang
turun
ia kehilangan
bumi dan langit.









Monday, 8 September 2014

Melangkahi Petala Langit dan Tanah Peribumi* (Kemerdekaan)

Sekarang kau berani melangkahi
sempadan Tanah Peribumi.
dan menabur fitnah angin gelora.

Suaramu kental dengan dahak
tapi maknanya masih kesampaian
di pelipis telinga.

Usah kau hebohkan kelahiranku
apa lagi bermain serapang tiga
dalam percakapanmu.

Tiada dosa tumbuh di Bumi Peribumi
kau pula jangan menunjuk jari telunjukmu
umpah sarana dan memperolok
pada keturunan anak bangsa.
Ia adalah pencinta kedamaian
tapi kau telah
membina tembok-tembok
bayangan di lembah gunung.



Friday, 5 September 2014

Aku dan Saudaraku*(Jurnal Puisi Melayu)


Aku memandangmu kasih-sayang
Kau memandangku penuh curiga.

Dalam matamu ada dengki dendam
Aku masih berdoa kerana kau saudaraku.

Aku berkata sepatah kau berayat tak putus
Aku menyapa salam kau tak menjawab.

Ketika aku melangkah ke pelosok bumi
Kau masih di tempat tidur bermimpi

Ketika aku menabur benih di ladang
Kau datang merosak tanaman.

Meskipun kau selalu berlaku zalim
Masih saudaraku mengucap Kalima Toyyiba.

Dikirim ke Jurnal Pusi Melayu, 14 Julai 2015