Tuesday, 6 August 2013

Tamu Menjelang Malam Takbir Raya, 2013

Ada seorang tua selalu bermimpi benar
ketika siang di ufuk ia memanggil anaknya.

Malam tadi Aba bermimpi, di desa itu
ada orang sedang dalam kemalaratan
amat. Pergilah mencarinya dan ambillah
sedikit wang ini dan bungkusan makanan.

Perintah itu dituruti, bukan sekali malah
tak dapat dikira. Anak ini  akan menelusuri
desa yang disebut dalam mimpi itu. Setelah
bertemu orang yang dicari baru anak itu
pulang ketika mentari ranum mangga.

Suatu siang sebelum hari raya Aidilfitri
orang tua ini didatangi seorang tamu,
beliau melayani tamu dan bertanya
apakah yang ia dapat tolong. Tamu itu
datang dengan hajat, kalau ia dapat dibantu
kerana esok adalah hari raya.

Orang tua ini bangun dan mendatangi
isterinya dan meminta sedikit wang buat
menolong tamu. Isterinya berkata,
ini saja wang yang kita ada untuk keluarga
kita merayakan esok.

Berilah kepada yang sangat memerlukan
ini. Insya Allah, Tuhan Rahman mengenapkan
keperluan kita esok.

Isterinya berdua hati tapi memberikan wang itu
kepada orang tua ini. Dan ia memberikan
wang itu kepada tamu tadi dan beralih pergi.

Pagi itu orang tua ini duduk di sajadah
Siang berbarkat Allah mengirimkan malaikat
mengabulkan doa-doa tulus. Orang tua itu
gusar ke kanan merasakan seperti ada orang
menitipkan sesuatu. Ia menoleh ke kiri dan ke kanan
tapi tak ada orang. Di sisinya ada gumpalan wang.

Setelah mencari jawaban tapi ia masih tak dapat
melihat kemungkinan ada orang yang datang.
Sepi dan tak ada orang. Orang tua itu bangkit
dan mengambil gumpalan wang itu  dan pergi
mencari isterinya.

Lalu berkata,

Ambillah wang ini, ini hadiah dari Allah Ta'ala.
Ia adalah Tuhan yang memenuhi kebutuhan
hamba-Nya. Jangan sekali-kali mengurangkan
keyakinanmu. Pergilah berbelanja untuk
keperluan Hari Raya.

"Apabila aku sakit, Ialah yang menyembuhkan."

Kota Kinabalu
7 Ogos 2013






Id Mubarak, Id Mubarak, 2013

Anak bulan di malam takbir 
lautan tenang setenang langit
kelip-kelap di lembah rimba jati
gemerlapan di langit malam
langit samawi mengirim salam
aku mengucapkan salawat dan
salam kepadamu, Ya Rasulullah,
Kekasih-Mu.

Aku mendakapmu, 
Ramadan Al Mubarak
kini tiba waktunya 
aku melepaskanmu
sekalipun sekuat tenaga 
tak ingin melepaskan.

Ya Rabbi, apabila aku
melampau, Kau selalu
memaafkan, dalam 
kekurangan aku datang pada-Mu.
Ketika terhuyung-hayang 
tanpa sandaran Kau 
mendorongku bukan sekali
tapi sepanjangan nafas perjalanan.

Hari ini aku persiapkan
sepasang sarung.
Buatmu sepasang kurung,
Amatul Qudoos
bulan Syawal dalam 
sukmamu. Kepadamu,
salam dan Id Mubarak
dan  Kasih-sayang-Mu merangkum
benua, lautan samudera
dan langit kejora.

Aku adalah Ansar.
Biar doaku seperti kesabaran
seorang musafir
kasihku pula air sarbat dari 
langit-Mu. Akulah dai'
di lapangan.
'Subhan Allahi-wa bihamdihi - Subhan Allahil-'Azim'
Id Mubarak, Id Mubarak.

Kota Kinabalu
7 Ogos 2013 






Monday, 5 August 2013

Menjelang Aidil Fitri, Ogos 2013

Kau melihat di Langit Samawi bulan hilal
mengembang menjadi bulan Qamar dan
purnama penuh lalu mengecil kembali di-
seantero langitmu Ramadan Al Mubarak.

Hukum alam, kau terpaksa melepaskannya
sekalipun terlalu berat dalam benak seorang
manusiawi. Gazel, kau menunggu datang
anak bulan seperti anak bermain kembang
api di Malam Takbir.

Pernah kau berceritakan tentang ibu tua
menyiapkan sepasang baju kurung dan
sepasang baju melayu buat anak jiranmu.
Dapatkah dibayangkan bagaimana degup
jantung ibu tua ingin menyempurnakan
harapannya di malam itu dan sebelum
datangnya mentari pagi.

Di Tanah Peribumi ini, kau kembali
menyedut udaramu bukan sebagai
pendatang malam atau musafir yang
kelelahan mencari oasis dan pohon
rendang di bawah langit selaksa bintang.

Kau mulai menghimpun kekuatan
memakan buah impian bukan dalam
mimpi atau dalam mitos dan legenda
kerana di sini kau datang kepadanya.
Kau pernah melangkahi sempadan dan
memanggilmu dengan kasih-sayang.
Aku telah mengiyakan sekali lagi
Kaulah penghibur dan membuka pintu masuk.

Dapatkah kau menyakin kepada
langit dan bumi sekalipun musim
bertukar dan tsunami kau tak akan
berganjak dan menyerah kalah.

Mereka telah melepaskan
binatang-binatang buas dan menjadi
sekutu di malam ngeri.
Tapi kekuatan buruj dunia
tak akan menderamu. Sekalipun
mimpi musuhmu sangat kejam.

Malam terakhir Ramadan Al Mubarak
Kau menunggu di hujung tanjung
memandang langit seperti menanti
kedatangan seorang Kekasih Sejati
dengan perhiasan yang sempurna.
Datanglah Idul-Fitri, biar semangatmu
terkandung di dalam sukma ini.
Kau merayakan Idul-Fitri dengan
kembang kasih-sayang dan harapan
pada esok.

Kota Kinabalu
6 Ogos 2013


Malam-Malam Terakhir, Meraih Gurub-Mu (Ketuhanan)(Ramadan)

Malam-malam terakhir 
harum udara meresap
sampai ke serambi halus 
bagai air menjurus 
ke dalam sukma
kudakap-Mu, 
dengan langkah kemampuan
keinginan ini adalah 
kesempurnaan langit-Mu
keupayaan ini adalah 
kasih sayang-Mu.

Aku memanggil-Mu
tak terlalu kuat, sederhana
panas siang dan kantuk malam
cair di dalam sukma.
aku menganyam kata-kata
dengan lidah tawakal
kepala tengkorak dan jiwa
ini menekan nafsi-i-Amarah
sampai jauh ke pusar bumi.

Setiap tindakan aku tak
membiarkan kebohongan 
bergayutan pada akar dan
sendi sekalipun itu hanya
kelakar atau janji kosong.

Aduhai, siang-siang merekah
dan malam-malam kembang 
rohani di bulan Ramadan
Al Mubarak.

Para mutaki inginkan
malam-malam Lailatul Qadar
sukma langit samawi bergetar 
aku bersujud dengan doa-doa
meraih qurub-Mu.

Kota Kinabalu
4 Ogos 2013


Saturday, 3 August 2013

Wakil Rakyat itu Orang Yang Dikenal

Katamu waktu berjalan sepantas kilat
kelakar di kedai kopi seperti
baru semalam biuh air liur jatuh
di atas meja kedai Ah Chong,
singgahan drebar teksi, broker tanah
dan pembual kedai kopi.

Perbualan seperti gelanggang sabung ayam
dari percakapan kosong hingga cerita sensasi
dan gosif. Tapi dari sini kawan saya
menjadi angin yang menggoda.

Di gelanggang ini di tanah pribumi
orang seperti bermain dadu mengharap
nombornya naik. Sayangnya, orang kecil
dibawa gelombang laut  dan putaran
angin ke sana ke mari bisik-bisik debur
ombak dan janji ular ketika bertukar kulit.

Musim bertanding memang menggoda
seorang drebar teksi besok seorang
Wakil Rakyat (WR). Seorang broker tanah
5 tahun kemudian menjadi seorang Datuk.
Orang kecil tak pernah bertanya
siapa kamu? Kerana di tanah pribumi
ini, demokrasi dikunyah dan hadamkan
menurut kemampuan menciptakan
mimpi dan impian.

Aku besar bersamamu
di kota ini dan desa-desa di pinggiran
halaman permainan kita.
Kau memilih jalan cepat
turun ke kuala, lalu menyeberangi
tanjung sampai ke kota idaman.
Lalu kaupun dinobatkan WR,
dari seorang drebar Teksi, impianmu
menetas. Kami bergerak kaki
dan bertopak tangan.

'Lihatlah, sukma kami terubat.'

Waktu gemuruh dan lenggang-lengguknya.
diam-diam kau membakar hutan lalu
kabus jerebu mengubur indera dan
sukmamu. Rongga dadamu berhempas
pulas ingin menghisap kepul-kepul udara.
Ada yang tak kecapaian. Untung,
air sungaimu masih mengalir tenang.

Kami masih berteman, cuma ia
jarang-jarang minum di kedai itu.
Kalau dulu ia drebar teksi, sekarang
ia pemiliknya. Sudah berapa musim
pemilihan, ia masih duduk di pohon
tinggi. Merenung langit dan gerak-gerak
lantai bumi di bawah. Kini ia punya
kepak yang lebar, mata tajam dan
kuku siap siaga terhadap mangsanya.

Ketika aku berjalan di lorong-lorong kota
dan desa-desa di hujung tanjung, aku cari-cari
legasimu. Tapi yang kutemui adalah grafiti
panjang di dinding kota, di batu-batu di atas
bukit, gema suara di lembah dan igau malam.

Kota Kinabalu
3 Ogos 2013

*Dikirimkan kepada Qomaruddin Asa'ada untuk projek antologi bertema Wakil Rakyat.






Friday, 2 August 2013

Salam Orang Kecil Buat Wakil Rakyat

Aku memanggilmu kerana
kita sepatutnya dekat tanpa
ruang memisahkan.

Bahasaku adalah bahasa santun
bukan bahasa dewata
dan bukan bahasa halilintar
aku memanggilmu
bukan sekali tapi
gema suara ini menghilang
di hujung lembah tanpa
balasan.

Sekalipun begitu aku masih
tetap memanggilmu kerana
teringin ketemu.

Kau bertanya bagaimana
ditemukan nombor ini
sedang aku cuba menjelaskan
mengapa aku memanggilmu?

Aku jadi pemalu
kerana aku dilahirkan sebagai
anak Melayu yang beradat
dan bersopan santun.

Kota Kinabalu
2 Ogos 2013

*dikirimkan kepada Qomaruddin Sa'ada untuk projek bertemakan Wakil Rakyat.


Thursday, 1 August 2013

Wakil Rakyat

Telah lama kau melupakan
bila kau tiba di sini dan
sudah berapa lama?

Orang kecil tetap orang kecil
cepat dikumpul dan cepat
dibubarkan.

Yang baru datang
tetap datang
yang belum datang
pasti datang.

Kau pun tak ingin aku bertanya
kerana tiap pertanyaan
akan menambah pertanyaan
dan ini tak akan berhenti
hari ini atau besok. Cuma
tanyaku tak mungkin masuk
dalam Soal Jawabmu.

Diam dan melihatmu
tapi sekalipun aku bukan orang
bergaji, hanya aku melihat
dan melihatmu di jalan-jalan
kotaraya pada siang Ra Ra
atau pada malam cengkerik.

Kau mungkin tak mengenalku
tapi, aku tetap mengenal
dirimu, skandal dan seleramu.

Sebenarnya kau dan aku
saling terkait. Kerana kau
adalah Wakil Rakyat di siang Ra
Ra. Sedang aku orang kecil
Suaraku adalah suara
kebanyakan, tak sanggup kalau
hati nuraninya tercuka.

Jangan kau tanya alamat
atau buku bank memang
aku tak punya.
Selama ini aku dan kau
saling terkait. Tak perlu kita
bimbang satu sama lain. Padamu
kebimbangan dan prasangka
akan menyuka hubungan kita.

Kota Kinabalu
2 Ogos 2013

*Dikirimkan kepada Qomaruddin Asa'ada untuk projek bertemakan Wakil Rakyat.