Wednesday, 3 April 2013

Sabah (Merdeka)

Tanah mimpi penyair menjadi kenyataan
kepadamu anugerah Tuhan bukan kebetulan
banjaranmu menjulang sampai ke pusar langit
di sini pendatang menemukan lubuknya
pulau-pulau seperti rantai mutiara di leher
gadis pribumi. Sungai, teluk laut tercantum
seperti dekur nafasmu ketika tidur lena.
Di dalam rimba jatimu banyak rahsia
menjejakinya bermakna kau akan tertawan.
Di sini, hewan terbaik pernah diciptakan
kau tak akan menemukan di benua mana.
Flora dan fauna tumbuh dari tanah kasih
sayang dalam iklimmu air terjun mengalir
mengalir langsung dari langit samawi.
Di lautmu bulan berendam dan telah beredar
langit perlahan dan sentuhannya halus
pada tiap sukma yang mendambakan.
Di bumi ini, lahir anak-anak peribumi
rahim terpilih dan subur. Burung-burung
mengindahkan langit dan bumimu. Rongga
nafasnya keluar nazam dan gurindam yang
membangkitkan semangat dan tekad berjuang.
Kupanggil kau yang hilang di malam gerhana
pulang dan menyaksikan hutan belantara telah
membuka mulutnya. Burung-burung telah 
berpergian membawa pesan-pesan dan amanat
'kami tak ingin tertinggal, kami akan mencipta
dan menerpa ke depan ikut dalam gelora
samudera sejarah.' Kota di pesisir, belantara
dan pusar bumi ini berbicara dengan alammu.
kami bukan terasing dan tak ingin diasingkan.
Kemerdekaan bukan bayang-bayang sejarah
menghantui masa depan. Tapi daya ketahanan
dan perjuangan melahirkan mitos-mitos dan
legenda-legenda tak hilang dalam peredaran
waktu. Kerana kami selalu mendamba-Mu.
Sekalipun di tanah ini kami dalam keperihan
dan kemelaratan. Hidup kami kerana kasih
sayang-Mu. Di bumi  ini dimulai hidup,
di garis penamat kami akan bersama-MU.

Kota Kinabalu
4 April 2013

*Antologi Kemerdekaan




Gema Suaramu*(AKL)

Damailah sukma, mengapa kau masih berharap
kalau mengharap itu hanya membuatmu lebih
kecil dari biji sawi. Keluar dari lubang pertapaanmu,
sekarang masuk musim memburu.
Kau tak mendengar kata-kata, yang kau
anggap sebagai letusan mercun di malam hari
indah hanya sekilas.

Gema suaramu melantun ke sana ke mari
terakhir ia hinggap di menara tinggi. Di situ,
ia menjadi burung berkepak lebar dan berparuh
tajam. sekarang ia terbang ke langit. Sempadan
tak bertepi, seluas cakerawala. Matanya tajam,
sampai ke masa silam, kembali ke tanah leluhur.

Bumi memanggil sekalipun kau telah
menjauh tapi ia tetap melambai. Sayang,
mereka tak melihat keindahanmu.Usah
ditanyakan mengapa kau menjauh? Mereka
berkata, semua cara dan taktik terbuka
demi meraih kemenangan. Kau tak
akan rindu dalam kesibukanmu mengisi
harianmu.

Kita saling terkait. Yang membedakan kita
hanya protokol dan surat rasmi dan aku
orang kecil tak perlu surat dan protokol.
Sekalipun dibuat protokol, aku masih bisa
membaca matamu sampai ke dalam sukma.

Kota Kinabalu
4 April 2013

*AP 10 Penyair,'Kembang Langit', Qamaruddin Assa'adah, 25 April 2013 (Mei 10)





Aku Ingin Merasakan Apa Yang Kau Tak Rasakan (Mama)

Aku tidak melihat lagi kerbau berkubang
di kampung. Orang seakan beranggapan
memelihara kerbau terkait kepada masa
lampau. Jalan ke kuburan masih semak-
samun, membuat penjalan malam pulang
melajukan kereta ketika lalu di tanah
kuburan.

Jarang-jarang orang kampung turun
menoreh getah. Selain pekerja upahan
berbagi pendapatan. Sungaimu masih
mengalir. Ketika musim banjir, arusnya
melimpah sampai ke anak tangga atas.

Tanah pokok cempedak di pinggir jalan
tanah bukit pokok getah tua telah lama
ditebang. Kampung ini bertukar kulit.
Wajahnya kini wajah orang pekan.
Yang pendatang dan pribumi telah
bermukim sebelahan rumah. Dari
dulu di sini, telah bermukim
pendatang sejak Jepun mundar-mandir
memerdekakan Asia Raya dari
tangan penjajah.

Kalau kau mencariku nanti
kau tak akan ketemu kerana aku berumah
di tanah bukit. Di situ tumbuh lebat lamiding
dan pakis, rebung dan cekuk manis. Aku
ingin merasakan apa yang kau tak rasakan.

Kota Kinabalu
3 April 2013





Rojak Timun (Malaysia)

Suatu pagi aku memanggilmu
kau datang perlahan dan duduk
di sebelah. Hutan bukit di halaman
baru melepaskan wap, masih
seperti mengheret dan perlahan
melepaskan kisah silam semalam.

Aku berbisik seperti melepaskan
sebuah keinginan. Dan mengharapkan
permintaan itu terkabul. Ia tersenyum
dan berlalu.

Sebenar aku tak meminta lebih
dari yang patut. Tapi ketika berdoa
kata-kataku terbiasa meluncur
bertambah dan bertambah dan bertambah
sari kata. Aku tak pernah kesal sekali
pun kepala aku bertahan di atas
sejadah. Kata-kataku terus mengalir.

Anak mata mencari arah ke dapur
seperti dunia senyap seketika
aku sempat berangan-angan
menyentuh langit dan melayang
ke kepulauan jauh dan sepi. Aku
melihat ia datang perlahan dan
hati-hati.

Di atas meja diletakkannya
botol gelas berisi rojak timun.
Air liurku menitis di atas lantai
seperti bayi yang baru merangkak
aku pun mengunyah sepotong
rojak timun dan jauh di dalam
sukma aku merasakan kepulangan
ini memang bermakna. Kerinduan
aku bertahun-tahun telah sempurna.

Kota Kinabalu
3 April 2013










Tuesday, 2 April 2013

Menunggu datangnya masa itu, PRU 13.(Merdeka)

Langit mendung sedikit di sini
bagi mereka yang menunggu
terasa penantiannya panjang.

Adakah hari ini dan esok
berbeda?  Tapi yang ditunggu ini
bukan permainan bola sepak dunia.

Pak Dalang telah menukar rentak
dari lagu berjalan ke rentak lagu
perang.

Hari ini, Pak Dogol, kau
boleh berehat, mereka belum mau
ketawa. Kerana mereka tertunggu
datangnya masa itu.

Aku melihatmu, semua
berkot dan memakai tali leher merah
menyampaikan pada tiap
telinga dan sukma

'Parliamen 12
dibubarkan dan berkuat kuasa hari ini.'

Wahai Pak Dalang,
ayuh, main selingan
lagumu
dari sukmamu.
Tiupkan semangatmu
ayuh, palu gong,
keci, serunai dan gendang
jadi orkestra yang
maha hebat.

Hari ini bermula
agar tradisi ini diteruskan
permainan
dan penungguanmu telahpun
digenapkan.

Kepada Tuhan kita berserah.

Kota Kinabalu
3 April 2013






Penceroboh Lahad Datu dan Semporna (Merdeka)

Dalam senyap kau telah masuk menyisip ke dalam
gelombang di malam hari menelur sengketa. Mereka
turun bagai komet, calar-calar di langit impian.
Lumpur di kasut dari kepulauan yang menyimpan
kegelisahan ratusan tahun lekang di pantai pasir
desa Tandou yang khayal dalam mimpi yang tak
akan menetas. Ketibaan telah mengganggu penyu
yang sedang bertelur. Rembulan terkurung. Ombak
laut meminggir, pulang sepantas kilat laut Taganak.

Ketenangan Lahad Datu dan Semporna seperti
tersiram air mendidih di siang benderang. Mereka
datang berslogan perang. Dari mulut dan nafasnya
api gunung belerang. Kata-kata kekerasan tak akan
dapat menakluki sejengkal tanah hijau di lembah dan
pesisir. Langkahmu terseliuh baru turun dari laut ke
daratan. Nafasmu pendek, larimu pun tak seberapa.
Mengapa?  Membiarkan segelincir orang hempas
impianmu.

Ketika kau memasuki ketenangan langit dan bumi
aku tak menyangka kau datang sebagai musuh.
Kedamaian tanah ini telah terganggu buat kali
pertama dalam waktu yang panjang. Langit bertukar
menjadi gelap dan kau melepaskan raksasa ke medan
perang. Gegap gempita, kau mainkan lagu perang,
kegilaaan Rawana tak dapat ditahan. Bagaikan
pintu neraka terbuka. Drama pun mula. Kau tak
ikut peraturan perang, semua jalan halal demi
janji-janji kemenangan yang tak mungkin. Tapi
masih kau bersikeras, mengerah balatenteramu,
mengeruhkan jalan damai dan persaudaraan Ummah.

Kau merosakkan mimpimu dan mempergok impianmu
ke longkang yang berbau. Dan menjolok mentari
dan menconteng wajahmu dengan kegelapan. Sekarang
kau tak dapat melihat rembulan dan udara di tempat
kau berpijak menjadi tipis dan rongga dadamu tersendat.
Tak dapat aku membayangkan kau datang bukan
sebagai tamu, tapi membawa grenade dan senjata.
Mengapa mengorbankan diri pada satu tujuan yang tak
jelas dengan retorika yang basi. Tidakkah kau kesal
dan sedar membunuh dan menganiaya mayat-mayat
lawan adalah  'Crime against Humanity.'

Dengarkan anak bangsa, bumi ini adalah
anugerah dari langit sampai qiyamat. Setiap
generasi akan memperlakukan tanah dan laut
leluhur ini dengan semangat bangsa, menjaga
dan melindunginya dengan semangat pengorbanan
dan jati diri. Keamanan dan ketenangan di tanah
kasih sayang ini adalah lambang sukma yang
tak akan terkalah dengan kekejaman, penganiayaan
dan perang. Kau, anak bangsa hari ini sampaikan salam
kami dari satu generasi ke satu generasi. Bumi pertiwi
ini tak akan kami lepaskan walau sejengkal pun.
Tumbang satu, seratus ribu akan siap siaga
maju ke medan juang.

Kota Kinabalu
3 April 2013








Kerinduan, kekasih Yang Menemukan*(ABMMK)

Ketika kutinggalkan tanah air
kerinduan melahirkan kata-kata
lalu menjadi kalimat terindah
di dalam sukma. Sesekali terlepas
dalam perbualan.

Aku melihatmu dari kejauhan
seperti bercermin diri sendiri.
Ketika aku berada disampingmu
aku tidak melihat warnamu
sebenarnya.

Tiap persinggahan aku
berdiri dan menghirup nafas
mencari bau dalam udara
dan cahaya hinggap pada wajah
mengelus, lembut dan nyaman

Dalam kerinduan itu
ada kenangan, kasih sayang dan
cinta dan memori yang
bertahan dalam ingatan.

Kau tak akan berkata
pada yang tiada
tercatat dalam memori.
Keindahan itu
adalah yang merapatkan
jarak.

Di dalam matamu ada kerinduan
tumbuh dalam diam
berakar di dalam sukma.

Aku di daratan ini
tak akan menyamai tanah
di halaman kerana
di situ kau boleh bermimpi.

Aku tak akan membiarkan
kebencian itu berbaur
dengan kerinduan walau
sedikit.
Kerinduan itu adalah
lautan tenang
di langit malam bergemerlapan.

Kerinduan ini akan terlerai
ketika tanganmu kujabat
dan ketika kau,
kudakap dan mencium
dahimu.

Tatkala aku menelusuri
halaman sejarah
maka kerinduan ini
hidup dan bersemi.

Setiap artifak kenangan
dan kehadiranmu
wujud dalam sukma.

Aku menjalin
cinta dan kasih sayang
tiap getaran inderaku
telah memberi isyarat
kehadiranmu.
Dan aku menjadi pasti
kau hidup dalam diri ini.

Kerinduan itu tanpa sempadan
langit yang berlapis-lapis
dan lautan yang penuh rahsia
nafas malam yang
penuh
isyarat dan kejuitaan.

Kerinduan ini telah aku persiapkan
bertahun-tahun bersemi
dalam sukma dan mengalir
dalam serambut darah ini.
Sekalipun aku jauh
terasa air terjun mencurah
tanpa berhenti
Kau adalah impian yang tak akan
pernah punah
menjadi rembulan
mentari
dan bintang-bintang
yang bergayutan di cakerawala.

Aku tak akan berhenti
kerinduan itu telah menjadi
langit yang tak dapat dibendung
dan aku beruntung kerana
masih boleh merindukanmu.
Kerinduan ini tak tertakluk
kepada masa. 

Yang terdahulu telah berusaha
mengenapkan kerinduan mereka.
Yang tinggal dan generasi penerus
juga akan menggenapkan kerinduannya.

Kemerdekaan itu
adalah kerinduan pada sebuah impian
yang telah terpenuhi.

Aku masih merindukanmu
dan akan membawamu
sebagai kekasih yang menemukan
harapan dan tak ingin pulang.

Kota Kinabalu
3 March 2013

*AP Bebas Melata MELANTUN KASIH, EDITOR, Othman Ramli, Sarjana Media SDN                               BHD, 2013.