Sunday, 11 November 2012

Di Sepanjang Jalan Ke Kotamu* (Indah)

Di sepanjang jalan ke kotamu
aku melihat lambang-lambang
ditanam di halaman atau di
pinggir jalan. Meskipun musim
masih jauh. Jelas, peninggalan
semalam. Kekal dengan warna
dan maknanya. Kemudian aku
mula melihat alam dan dirimu
dalam lambang. Tapi yang ada
hanya mitos-mitos masa silam.
Aku mencari tugu ingatan di
sepanjangan jalan ke kotamu.
Suaramu kekadang datang ke
dalam fikiran atau mimpi dan
impian. Tokoh-tokoh itu singgah
sebagai inspirasi sekurun dan
hidup dalam impian dibawa ke
mana saja sekalipun ke hujung
langit. Di Kota ini suara itu
berpadu menjadi kekuatan.
Air telukmu bergulung menjadi
gelombang. Halaman sejarah
pun tercipta. Dalam angan-angan
dan impian generasi muda
pengorbananmu hidup dan manis.

Kudat
12 November 2012

**Antologi Puisi 'Zikir Cenderawasih' oleh Hj Bung Johar, Sabahuddin Senin dan Haji Domeng, Borneo Top Publishing House, 2014.

Kuda Laut Jantan Yang Hamil Ini Telah Menetas Di Laut Telukmu. (Hewan)

Aku menghirup udara
dua gading negerimu
kembara puisi ini menetas
akulah Kuda laut jantan
yang hamil, merindukan
genang air telukmu.
Lepaskan aku, dari tanganmu
sendiri, wahai, kau yang
bersembunyi di balik
malam purnama. Diriku
telah hamil, hamil melahirkan
kata-kata yang akan menjadi
puisi. Air dingin telukmu,
Laut Sulu. Lautmu menyimpan
rahsia semalam. Di kota ini,
aku melihat tapak-tapak
kakimu, masih belum lesap,
penuh dengan artifat, kau
memang pernah di sini.
Aku berdiri membaca pusar
angin, Pulau Banggi, kau
hadir dalam sekelip. Aku
melangkah di tanah pahlawan,
Malam ini, aku telah meletakkan
dastar. Kupejam mata, bunyi
kulintangan diketuk dari kejauhan
dan mendekat. Indah. Aku mencium
harum bunga melati. Lalu aku
melihat wajahmu. Ya wajah-wajahmu
satu persatu memberi salam,
gagah dalam keterampilan.
Berilah aku sesaat, aku ingin
mendakapmu. Kinabalu, bulan
dan bintang, laut dan pulaumu
tanah dan hutanmu, turun bersatu
ke dalam sukma. Sekarang, Kuda laut
jantan yang hamil ini telah menetas
di laut telukmu, dari tanganmu sendiri.

Kudat
12 November 2012

*ITBM (Bahagian II)

Saturday, 10 November 2012

Mimpi Seekor Ikan Dolpin (Hewan)

Suatu siang kau mengeluh
lautmu tak seluas terasa
seperti di dalam peti kaca.
Kesabaranku telah sampai
ke puncak, katamu sambil
melihat negeri jauh dari
aras air lautan. Seekor ikan
sederhana kecil, seperti aku
menjadi habuan kepada yang
lain. Jerung masih perkasa,
Raja laut. Hari itu aku
menghampiri  sebuah pulau.
Terdengar penghuninya
bersedu-sedan kerana air
telah naik ke pengkal kaki.
Mereka risau, ombak telah
masuk tindih-menindih sampai
ke halaman, kebun ubi manis
tenggelam dalam air masin.
Lalu aku beralih dari pulau
sepi, mencari dataran baru.
Aduh, mereka menumbang
pohon kayu dan terus membongkar
kayu bakau. Desa di hujung
tanjung,  hutan jati telah
hanggus dan terbakar jauh
sampai ke dalam. Langit jerebu
penuh di dalam paru-parunya
sampai ke sempadan luar
negerinya. Laut bergelora,
gempa bumi datang dalam
senyap. Musim taufan memanjang.
Aku seekor ikan, ikan dolpin
di sini hukum rimba, hukum laut,
siapa perkasa, dialah yang
memerintah laut. Melihat kejahatan
tanpa berbuat, adalah kekejaman.
Tapi ingin melakukan sesuatu,
dan tak berdaya, lagi parah!
Aku ingin berhijrah ke daratan
walau hanya sebentar. Seekor
ikan terus bermimpi, berpindah
ke daratan. Siang itu, ia
mengucapkan selamat tinggal
kepada laut, pada bunga carol,
pada perkebunan Kelapa. Ia
berhanyut-hanyut dan perlahan-
perlahan terlentang di pantai pasir putih.
Mentari baru sejengkal. Oh , aku
dapat melihatmu, laut tohor,
mengendur jauh ke belakang.
Mulai ia merasakan nafasnya
memberat dan melemah.
Apapun yang bakal terjadi,
aku redah. Ia tak bergerak,
keputusan telah diambil.
Biar siang ini menjadi saksi.
aku sudah berada di negeri
yang jauh. Nafasnya mengendur.
Selamat tinggal lautan,
Esoknya, nelayan dari pulau
menemukan seekor ikan
dolpin terbujur kaku di tepi
pantai pasir putih.

Kota Kinabalu
11 November 2012

*Antologi Suara Penyair, 2012.
*ITBM (Bahagian II)


Friday, 9 November 2012

Aku Hanya Melakukan Yang Termampu (Ketuhanan)



Dalam diam disepanjang jalan
ketika aku terbang bersama angin
benih digenggaman tangan dilepaskan
aku memandang sekumpulan burung
terbang ke arah barat. Dalam tenang
aku berdoa, benih yang ditabur tadi
akan menjadi pokok buah yang manis.
Suatu hari sekawan burung yang lain
singgah dan hinggap di dahannya
menjamu selera. Dari situ nanti sekawan
burung terbang ke bumi dan langit baru
menabur benih. Lalu kau melihat bukan
saja di bumi, di langit juga pohon
buah akan tumbuh dengan buah manis,
melegakan musafir yang lelah. Memang
pohon berbuah manis itu, hidangan
buat para musafir untuk ratusan kurun
mendatang. Malam tadi aku bermimpi
menggali perigi setiap perhentian jalan.
Airnya manis dari pusar bumi. Perigi
yang digali dengan cinta dan dedikasi
tak akan kering kerana langit sangat
kasih padanya, hujan selalu turun di saat-
saat perigi mula menampakkan tanda
air susut ke tahap yang menggelisahkan.
Aku hanya melakukan yang termampu,
selebihnya pada-Mu, Yang Empunya Kuasa
ke atas langit dan bumi. Aku masih
kuat melangkah sekalipun agak perlahan
tapi, aku akan sampai akhirnya.
Oh Malam penuh barkat, aku tak pernah
mengomel, sekalipun terasa letih, aku
akan terus mengenang-Mu dalam doa-doa.
Kepadamu, musafirku, sekalipun kau
tak mengenalku, aku puas, kerana dapat
berkhidmat.

Kota Kinabalu
10 November 2012



**Antologi Puisi 'Zikir Cenderawasih' oleh Hj Bung Johar, Sabahuddin Senin dan Haji Domeng, Borneo Top Publishing House, 2014.

Aku Berdoa Dalam Kata-Kata Sederhana Dalam Bahasa Yang Segar. (Ketuhanan)

Duduklah di sini, lama kita tak berbual
dulu di halaman ini kau selalu datang dan
duduk bercerita atau tentang apa saja
kekadang kita berbual tentang langit
yang berlapis-lapis, berdebat tentang
sebiji nasi yang jatuh di atas lantai.
Tapi ada waktunya kita duduk berkelakar,
ketawa tak tentu fasal, hanya melihat
kucing yang meow kerana musimnya.
Atau mendengar cerita turun-temurun.
Tiap anak adam merasa zamannya itu
adalah zaman yang terindah dan asyik.
Aku lahir dan hidup dari kurun lalu
dan kurun 21 ini, menjadi saksi pada
kebenaran dari firasat yang mengalir.
Mengapa? Kebiasan orang suka menimbus
kebenaran sampai jauh ke dasar bumi.
Kebenaran itu adalah permata yang
bernilai sekalipun kau berusaha
menebuk langit dan menyembunyikan.
Ia tetap batu permata yang bernilai,
sekali kau mengilapnya ia akan berkilau
dan gemerlapan indahnya. Kau bercerita,
tak terasa air matamu turun bagai air
hujan. Kekadang duka laramu melekat
pada wajahmu. Kala kau gembira, kau
tersenyum dan ketawa dengan nafas
tertahan-tahan. Kegelisahanmu tersembunyi
di piinggir matamu. Kalau kau mencari
kepuasan, bukan di sini. Kepuasan jiwamu.
Ya Rabbi, aku masih dapat menyatakan
kepada-Mu dalam bahasa kelahiranku.
Tiap patah kata itu lahir dari sukma
yang digarap dalam kata-kata kasih
dan tulus. Bahasaku bukan bahasa
yang dimanipulasikan. Bahasa ini
adalah bahasa yang membayangkan
rasa kedekatan dengan-Mu. Ketika
aku berdoa dalam kata-kata sederhana
dalam bahasa yang segar dan lincah
tapi yang keluar dari hujung lidah
adalah kebenaran kata-kata dan
kebenaran dari sukmaku.

Kota Kinabalu
10 November 2012
*ITBM

Amanat Kepada Generasi Muda (Dedikasi)

Kalau pun mereka tak peduli jati diri
tak mengapa, dalam diam kita bekerja.
Ini bukan ayat perintah, mengingatkan
dan melakukan dalam satu perjuangan
harus diperah. Berhenti bererti kalah.
Generasi muda, angkat dagumu, suara-
suaramu harus didengar. Biar lantang
tapi sopan dan bernada. Aku ingin kau
melukis rembulan, cakerawala dan orbit
dalam sulaman kata-kata, lahir dalam
bait-bait puisi. Air mengalir menjadi
air terjun itu sukmamu dan fikiranmu.
Aku memberikanmu kalam ini dan
sumbermu alam jagat, perigi inspirasi
yang tak pernah tohor. Aku ingin kau
berdiri di atas pentas tanpa merasa
kalah sebelum berbuat. Di bawah
cahaya lampu, kau membaca puisi,
fikiranmu melayang-layang dan
singgah di sukma mereka. Tiap kata-
ketulusan mewakili generasimu.
Kebijaksaanmu  berkata-kata, menjadi
tradisimu turun-temurun. Berbicaralah
dan luahkan cita-rasamu, tiada yang
ingin kau sembunyikan dalam sukma.
Kemiskinan berfikir dan berkarya
melumpuhkan kemampuanmu,
lalu keterbatasanmu menjauhkanmu
dari persaingan dan jati diri. Aku tak
akan berhenti datang sebagai gerimis,
atau desir angin yang membisik ke
telingamu, tidak terlalu keras dan
tak terlalu lantang. Generasi muda,
tampilah ke depan, suaramu adalah
hakmu, tiap fikiranmu itu lahir dari
jiwa yang terang. Aku menulis kepada
mu dengan bahasa yang mudah dan
terang kerana aku tak ingin kau melarat
dalam rimbamu sendiri. Kasar dalam
pengucapan dan kurang beradap dalam
berbual apa lagi bertindak. Baca dan
melangkah, usah takut,kerana di dalam
puisi-puisi deklamasimu ada suara hati
dan fikiranmu yang perkasa. Suatu
hari aku ingin melihat puisimu melayang
dari dahan ke dahan di alam sejagat.

Kota kinabalu
9 November 2012

*Antologi Suara Penyair, 2012. 
*Antologi Kemerdekaan

Thursday, 8 November 2012

Mari, Kita Mulai Kembara ini Selangkah Dulu (Puisi)(Metamorposis)(ITBM)

Aku tak memaksamu
apa lagi menukar bumbung langitmu
memangnya sudah begitu
kalau suatu ketika
aku bertemu di keramaian kota
atau di mana saja
lalu berbahasa padamu
tak perlu kau menggerut dahimu
kerana di dalam sukmamu
meresam setiap getaran
dan sentuhan kata-kata.

Bahasaku tetap indah
menjangkau orbit dan langit samawi
tiap kata-kata
terhampar makna-makna
bila dikumpulkan
menjadi syair dan puisi
yang indah.

Aku mencintaimu
bukan sekadar aku lahir
lalu menjadi tulang sum-sum
dan urat serambi yang
menjalar ke seluruh nadi hidup
sampai kiamat mendatang.
Bahasaku, adalah anugerah-Mu

Kau tumbuh bukan dari tangan asing
sebelum aku lahir, kau telah ada
lenggang-lenggok bahasa Melayu
adalah dari busana bangsa
yang dianyam dari tradisi dan budaya.

Aku tak malu
kerana aku berfikir dalam bahasa.
Kerana aku juga mengeluh, berdebat dan berkasih
dalam bahasa
bahasa yang mengkukuhkan sebuah
harapan
impian
amanah
keadilan
dan perpaduan bangsa.

Kau telah melihat ke dalam bola mata
hitam  dan aku menatapmu
lalu dari lidahku yang lembut
terucap kata-kata dari sukma
salam dalam keindahan yang
tulus telah menambat jiwamu.
Aku tak akan memaksamu
kerana bahasa ini adalah
bahasa berfikir dan merasa
kembaranya jauh ke angkasaraya
tapi, sebelah kakinya masih
di bumi.

Manisku, mengapa terdiam
dan berdiri kebigungan. Mari,
masuklah ke dalam, kita mulai
kembara ini selangkah dulu.

Kota Kinabalu
9 November 2012
*ITBM